Pengikut

Selasa, 24 Ogos 2010

Cinta atau???

Cinta itu suatu perasaan kudus yang lahir dari hati yang suci untuk berkongsi rasa dengan seseorang yang berbeza latar belakang dan keturunan dengan kita. Cinta itu suatu yang misteri tetapi ianya wujud dalam norma-norma kehidupan. Cinta itu kian hadir dan memenuhi segenap ruang yang wujud dalam diri sehinggakan diri ini kurang penting berbanding insan lain. Suatu kehendak dalam hati dan perasaan untuk meluahkan suatu citra rasa yang terindah untuk dikongsikan bersama.
Namun, cinta itu bukanlah semudah yang diungkapkan. Dalam noktah suci bertemali arus globalisasi kini, cinta kian dicemari dengan nafsu durjana yang menggugat kesucian cinta lantaran keterlaluan terdedah dengan arus hedonisme yang bergelumang di dada-dada media, mengajarkan anak-anak kita untuk terus hanyut dibuai rasa cinta yang dusta, malah ianya palsu semata-mata.
Izinkan saya mengupas tajuk ini lebih mendalam lagi agar kita dapat merenungkan kembali fitrah kita dan jalan-jalan berliku yang kita lalui sehinggakan ramai yang tersesat dari landasan perjalanan yang benar.
Tuhan menjadikan setiap sesuatu di dunia ini berpasangan. Ada malam adalah siang. Ada air adalah api. Ada sayang adalah benci. Ada keras adalah lembut. Fitrah manusia dijadikan semuanya berpasangan lelaki dan perempuan dan dipecahkan pula kepada kaum-kaum yang melata di atas muka bumi ini, Sehinggakan di tempat yang paling panas ada manusia dan juga di tempat yang paling sejuk jua ada manusia. Secara fitrah, manusia itu memerlukan cinta yang mana dapat meredakan kegelisahan manusia yang mneghimpit kita untuk terus-terusan hidup tanpa perkongsian perasaan.
Walaubagaimanapun, penyakit sosial yang melanda masyarakat kita pada masa ini amat membimbangkan. Statistik pembuangan bayi meningkat secara eksponential dan menyebabkan masyarakat kita dipandang rendah di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa. Pergaulan bebas yang menunjangi permasalahan ini sukar dibendung sehingga ianya melibatkan remaja-remaja yang menjadi harapan negara pada masa akan datang. Pergaulan bebas dalam kalangan pelajar sekolah dewasa ini amat membimbangkan sehingga berlakunya keruntuhan akhlak yang berleluasa di seluruh pelosok tanahair tercinta ini.
Siapa yang perlu dipertanggungjawabkan dalam situasi hari ini? Ramai pihak menuding jari ke sana dan ke mari untuk mengelakkan diri dari dituduh sebagai penyebab. Akhirnya, ke sekolah jua yang akan disalahkan kerana remaja paling banyak menghabiskan masa di sekolah. Namun, untuk pengetahuan umum, sekolah adalah tempat menimba ilmu duniawi dan juga ukhrawi. Di sekolah, ditekankan dengan Pengajaran Sivik dan Kewarganegaraan yang mengajar remaja agar bijak membuat keputusan dan dapat menjadi insan yang seimbang. Ramai guru yang sedar akan tanggungjawab ini dan memandang perkara ini dengan serius dalam tugasan menyedarkan generasi mutakhir ini agar dapat berfikir sebelum membuat sesuatu tindakan. Walaupun selalu diingatkan, remaja tetap tidak ambil peduli terhadap perkara asas yang diajarkan dalam matapelajaran tersebut dan menganggap ianya suatu yang remeh kerana tidak dinilai dalam peperiksaan nasional seperti PMR dan SPM.
Pokoknya, perlukah kita menilai diri sendiri melalui pembelajaran di dalam kelas? Saya ingin mengajak remaja yang membaca artikel ini untuk berfikir sejenak sebelum membuat keputusan. Ironinya, dalam masyarakat kita yang bersulamkan budaya timur, adalah menjadi kesalahan jika kita berdua-duaan, apatah lagi mengikuti orang yang baru kita kenal tidak sampai sehari. Jika kita membaca laporan akhbar, ramai anak gadis yang terjebak dengan gejala tidak sihat ini berjaya dipujuk dengan ayat-ayat cinta lelaki buaya darat yang baru dikenali tidak sampai sehari dan bersedia mengikuti lelaki tersebut ke mana sahaja yang lelaki itu ingin pergi. Akhirnya, gadis remaja itu tertipu dengan helah dan cinta palsu lelaki kasanova terbabit.
Jadi, sebagai remaja, perlu ada jatidiri yang tinggi dan tidak mudah mempercayai seseorang terutamanya yang baru dikenali. Jatidiri itu boleh dibentuk dengan kesabaran dan daya berfikir yang tinggi. Untuk mengelakkan diri dari dihasut dan diperdaya, perlulah kita meletakkan agama dalam kehidupan kita jauh lebih tinggi dari perkara lain, agar norma-norma kehidupan kita tidak dicemari gelaja-gejala tidak sihat. Saya berharap agar kita dapat menjadi generasi halal dan menjadikan akal sebagai panduan hidup kita bersama dan menjauhi diri dari dihasut nafsu kita sendiri.
Kesimpulannya, cinta itu suatu perasaan kudus yang lahir dari hati yang tidak boleh dielakkan. Hargailah ia agar ianya tidak dicemari dengan kerakusan nafsu serakah yang sukar dibendung, Bimbinglah diri dengan jalan iman dan ketakwaan. Moga kelak kita beroleh kejayaan di dunia mahupun akhirat.
Cikgu Nizam
http://cikgu-murid.blogspot.com/
24 Ogos 2010
12.42 pagi
ruang tamu rumah

2 ulasan:

pai kapak berkata...

sangat menarik..:)

Nizam Gtz berkata...

panjang... naik pening bila sendiri baca

Log Masuk Google akaun untuk melihat aktiviti

Related Posts with Thumbnails